Saturday 26 July 2008

Isu bahasa menguji kuasa politik orang Melayu

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
(WARTAWAN UTUSAN)

ORANG Melayu sekali lagi diuji. Seperti biasa bahasa Melayu menjadi titik tolaknya sekali pun bahasa Melayu sewajarnya tidak perlu dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak khususnya oleh kalangan bukan Melayu.

Ini kerana bahasa Melayu telah diletakkan di tempat yang selamat dalam Perlembagaan dan bertaraf bahasa kebangsaan di negara ini. Apabila sesuatu bahasa itu diangkat menjadi bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan tetapi bukanlah dalam situasi yang rasmi. Tetapi di negara ini, ada pihak yang tanpa rasa bersalah mahu melanggar kedudukan bahasa Melayu dan cuba "memartabatkan" bahasa lain.

Mencabar, menguji atau apa saja istilah yang sama erti dengannya sebenarnya boleh dianggap mencabar kuasa politik orang-orang Melayu.

Perbuatan ini bukanlah kerana kejumudan kefahaman sesuatu pihak tetapi mahu menguji sejauh manakah politik Melayu bangun mempertahankan apabila bahasa Melayu diperlekehkan secara terhormat.

Ini adalah satu yang disengajakan dan tidak dapat dinafikan unsur-unsur kaum terselit bersama-sama isu ini.

Adakah kalangan orang politik Melayu melihat isu perlekeh bahasa Melayu ini melampaui isu bahasa semata-mata? Ini bukan isu bahasa, ini isu politik di mana kuasa politik bukan Melayu menguji politik Melayu yang terkenal dengan ketidakpekaan terhadap kedaulatan bahasa Melayu.

Kalau ditoleh, isu-isu bahasa Melayu sebelum ini tercetus kerana sesetengah kalangan orang politik Melayu memberi ruang untuk bahasa itu dipijak.

Bahasa Melayu tidak diangkat ke persada sewajarnya kerana kuasa politik Melayu tidak bersungguh-sungguh ke arah itu. Malah banyak gejala perlekehan bahasa Melayu dilakukan oleh orang politik Melayu sendiri.

Isu papan tanda di enam jalan di Pulau Pinang yang ditambah dalam tulisan Cina oleh parti Gerakan adalah suatu yang sangat jelas. Rasional menambah tulisan Cina pada papan tanda jalan itu adalah satu kesengajaan, ia bukan satu keperluan sama ada untuk orang tempatan atau pelancong asing.

Orang bukan Melayu di Pulau Pinang semuanya faham bahasa Melayu dan boleh membaca tulisan Rumi bahasa Melayu. Malah generasi bukan Melayu yang tidak dilahirkan di negara ini khususnya di Pulau Pinang hampir sudah tidak ada, kalau generasi ini dijadikan alasan tidak tahu berbahasa Melayu. Jadi orang Cina atau India di Pulau Pinang adalah anak kelahiran negara ini yang tahu berbahasa Melayu.

Maka isu papan tanda itu boleh dianggap provokasi Gerakan sebuah parti politik majoritinya orang Cina. Pulau Pinang antara negeri yang jatuh ke tangan DAP sebuah parti pembangkang yang majoritinya orang Cina. Sebelum ini Pulau Pinang diterajui oleh Gerakan, sebuah parti komponen Barisan Nasional. Apabila papan tanda tulisan Cina dimulakan oleh Gerakan, kita boleh bertanya, apa bezanya idealisme Gerakan dengan DAP khususnya dalam soal ini? Ternyata Gerakan cuba bermain api dengan orang- orang Melayu Pulau Pinang apabila mereka dilihat tidak ada bezanya dengan DAP yang selalu bangkit dengan isu-isu yang tebal dengan sentimen kaum.

Ada pihak yang berkata, sekiranya DAP yang menaikkan papan tanda tulisan Cina, mereka tidak terkejut. Tetapi semacam tidak percaya apabila Gerakan sendiri yang berbuat begitu apabila Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP.

Lalu mereka bertanya lagi, apa muslihat Gerakan dalam konteks kesefahaman dengan kaum-kaum lain di Pulau Pinang dan negara ini? Ternyata menaikkan papan tanda jalan tulisan Cina tidak ada alasan yang jelas kecuali provokasi untuk menguji sensitiviti orang Melayu. Gerakan sepatutnya lebih faham daripada DAP dalam isu bahasa Melayu di negara ini.

Apabila isu bahasa Melayu menjadi isu politik, orang-orang politik Melayu mesti bangkit mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu daripada terus dipersendakan seperti ini. Orang politik Melayu perlu lebih menonjol dan memperlihatkan kesungguhan bukan saja dalam konteks isu papan tanda jalan di Pulau Pinang malah isu yang melibatkan bahasa Melayu seluruhnya.

Desakan ini bukanlah menyalakan api perkauman, sebaliknya melaksanakan yang telah dipersetujui bersama dalam Perlembagaan. Isu bahasa Melayu tidak boleh dilihat terpisah dengan perjuangan politik Melayu.

Di negara ini isu bahasa Melayu bukan saja tugas pejuang bahasa. Pejuang bahasa telah memperlihatkan pendirian yang sangat konsisten tentang kedudukan bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Memperjuangkan bahasa Melayu daripada jurus politik sangat penting kerana apa yang berlaku di Pulau Pinang digerakkan oleh pejuang politik.

Walaupun Melayu menjadi majoriti penduduk Pulau Pinang, tetapi mereka tidak mendesak papan tanda jalan dalam tulisan Jawi. Di Kuala Lumpur ada papan tanda bertulisan Jawi. Ini menunjukkan orang Melayu Pulau Pinang sangat toleran kerana hanya menerima tulisan Rumi, sekalipun di negeri lain ada papan tanda tulisan Jawi.

Parti Gerakan sepatutnya melihat perkara ini sebelum ghairah menjulang sesuatu yang berbau kecinaan. Jadi apakah maknanya toleransi orang Melayu apabila Gerakan melancarkan provokasi menaikkan papan tanda tulisan Cina? Apa kena mengena Tapak Warisan Dunia dengan tulisan Cina?

Maka yang jelas tindakan Gerakan ini bermotifkan perkauman dan tidak ada kena mengena dengan beberapa lokasi di Pulau Pinang diiktirafkan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Reaksi tokoh budaya dan ahli akademik, Prof Dr. Siti Zainon Ismail mengenai isu papan tanda jalan beberapa hari lalu wajar ditelaah dengan penuh penghayatan oleh orang-orang politik Melayu.

Antara lain kata Dr. Siti Zainon, "Saya hendak tanya, apa orang-orang politik Melayu buat dalam mempertahankan bahasa dan bangsa sendiri? Kami pendidik, sudah memberikan pendidikan yang secukupnya kepada mereka (orang politik Melayu). Tolonglah jangan lupa lagi, jangan sampai tergadai."

Tolak ansur orang Melayu selalu diambil peluang oleh pihak-pihak yang tidak menghargai sikap tolak ansur itu. Akhirnya merekalah yang "menolak" orang Melayu daripada bercakap tentang bahasa dan bangsanya.

Apabila Melayu bersuara, dengan pantas pula dianggap "perkauman" sedangkan tindakan mereka "menolak" Melayu lebih bersifat perkauman. Dalam isu papan tanda jalan di Pulau Pinang ini, Gerakan mesti lebih "sedar diri" , begitu juga orang politik Melayu jangan membiarkan kepala mereka dipijak.

Papan tanda jalan bertulisan Cina adalah isyarat awal dominasi budaya. Kalau ini dianggap api, eloklah dipadam awal-awal lagi daripada merebak dan membakar negeri.

sumber: utusan malaysia online 26 Julai 2008

Muzakarah UMNO-Pas bawa rahmat

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
(WARTAWAN UTUSAN)

SEMEMANGNYA tahun 2008 menjanjikan begitu banyak episod-episod menarik dalam arena politik negara.

Terbaru, orang Melayu dan seluruh rakyat negara ini menyaksikan bagaimana dua buah parti terbesar orang Melayu yang sebelum ini banyak menghabiskan masa dan tenaga bertarung dalam soal-soal politik dan ideologi kini duduk semeja.

Langkah berkenaan sudah tentulah mewujudkan satu kelegaan luar biasa bagi orang Melayu dan umat Islam apatah lagi sebelum ini perpecahan di kalangan orang Melayu sering dikaitkan akibat politik antara UMNO dan Pas.

Tetapi semua itu hanya akan menjadi iktibar yang berguna, apa yang lebih penting sekarang, semua orang Melayu perlu melihat usaha yang dilakukan oleh kedua-dua parti berkenaan sebagai satu rahmat.

Tidak kisahlah hendak menggunakan istilah muzakarah, muqabalah, musyawarah atau hatta mukadimah sekalipun, ia tidak penting kerana semua itu hanyalah sekadar istilah, apa yang lebih penting ialah hasil daripada apa yang diusahakan.

Justeru bagi mereka yang benar-benar sayangkan kepentingan orang Melayu dan Islam terpelihara, mereka perlu menyambut muqabalah antara pemimpin UMNO dan Pas ini dengan gembira dan kesyukuran.

Mereka tidak harus melihat ia melalui pandangan politik yang sempit dan jumud. Orang Melayu sudah tidak ada masa lagi untuk berbalah, orang Melayu perlu bersatu demi memastikan dan hak serta kepentingan mereka tidak terus diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak.

Bagi Pensyarah kanan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mustafa Mohamed Ishak, apa yang dilakukan oleh UMNO dan Pas itu sangat dialu-alukan.

Ini kerana kata beliau, tidak kira apapun nama parti atau pertubuhan yang mewakili orang Melayu mereka hakikatnya mempunyai satu persefahaman iaitu berjuang untuk bangsa dan agama.

''Atas sebab itulah apabila menyentuh soal kepentingan bangsa dan agama, mereka perlu dilihat mempunyai persefahaman bagi mengelakkan mereka berbalah dalam isu-isu asas,'' katanya ketika dihubungi.

Mustafa memberi pandangan itu berasaskan kepada persefahaman yang ditunjukkan oleh parti politik dan pertubuhan yang mewakili bukan Melayu. Golongan ini akan bersedia mengenepikan perbezaan antara mereka jika ada perkara yang memerlukan mereka duduk semeja bagi membincangkan perkara asas mengenai kepentingan mereka.

Justeru kesediaan UMNO dan Pas ini membuktikan bahawa parti-parti politik Melayu kini semakin matang berpolitik dan tidak berbalah sepanjang masa.

Apa yang perlu difahami pertelingkahan dan perbalahan berpanjangan tidak akan menguntungkan orang Melayu.

Sebaliknya ia boleh mengakibatkan kepentingan dan hak mereka terjejas. Ketika ini pun berikutan keputusan pilihan raya umum sudah banyak 'tangan-tangan' mula merayap untuk menggugat satu demi satu kepentingan orang Melayu termasuklah yang sudah termaktub dalam perlembagaan.

Dalam pertemuan penulis sama ada dengan pemimpin UMNO mahupun Pas, mereka sekata dan senada dalam soal menjayakan muzakarah atau muqabalah ini.

''Cukup-cukuplah kita berbalah dalam politik, sekarang masa untuk bersatu, saya yakin kalau semua ikhlas hasrat untuk melihat antara UMNO dan Pas duduk semeja bagi memperjuangkan hak Melayu dan Islam akan tercapai,'' kata seorang pemimpin Pas di Kelantan ketika dihubungi.

Bagi pemimpin Pas bertaraf Yang Berhormat ini, ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi menyambut baik muzakarah berkenaan.

''Mungkin ada satu dua orang yang keliru tetapi kita yakin semua kekeliruan itu akan berakhir apabila kita memberi penjelasan dari semasa ke semasa,'' katanya.

Sememangnya mana-mana individu yang mengaku dirinya Melayu tidak akan menghalang muzakarah ini kerana ia juga dituntut dalam Islam.

''Justeru kalau ada yang menentang biarpun sudah diberi penjelasan ertinya mereka mempunyai agenda politik.

''Persoalannya sampai bila kita hendak berbalah dari segi politik sedangkan dari semasa ke semasa kepentingan Melayu dan Islam semakin tergugat,'' kata seorang lagi pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Namun apa pun apa yang pasti muqabalah yang sedang diusahakan oleh UMNO dan Pas ini melegakan majoriti orang Melayu terutamanya mereka yang tidak mempunyai sebarang pendirian politik.

Ia kerana perkembangan di beberapa negeri sejak kebelakangan ini dengan jelas menunjukkan kedudukan orang Melayu seolah-olah tidak selamat lagi.

Ada antara mereka hanya menjadi pemimpin tetapi tidak mampu bersuara kerana kuasa bukan di tangan mereka.

Atas sebab itulah bagi Mustafa, parti-parti politik Melayu tidak boleh berbalah dalam soal berkaitan isu asas kepentingan mereka.

''Kalau mereka terus berbalah ini boleh mengugat usaha bagi memperjuangkan isu itu,'' katanya. Beliau juga menegaskan, orang Melayu perlu sedar bahawa mereka tidak boleh sama sekali berbeza dari segi memperjuangkan perkara asas mengenai orang Melayu biarpun mereka mempunyai asas perjuangan yang berbeza.

Berasaskan kepada perkara itu adalah jelas sudah tiba masanya orang Melayu mempunyai kematangan untuk berpolitik.

Mereka tidak boleh selama-lama berbalah sehinggakan untuk duduk semeja bagi membincangkan soal kepentingan bersama pun tidak boleh.

Justeru pujian harus diberikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sanggup berusaha ke arah itu.

Mungkin ada pihak yang tidak senang dengan 'penyatuan' ini akan membuat pelbagai andaian dangkal kerana tidak mahu apa yang diusahakan oleh kedua-dua pemimpin itu menjadi kenyataan.

Tetapi apa yang harus diingat segala yang dilakukan oleh UMNO dan Pas hari ini dalam kesediaan mereka bermuzakarah adalah jaminan kepada masa depan kepentingan Melayu.

Janganlah terlalu taksub untuk menyatakan kerana orang itu lemah atau orang ini kuat maka soal muzakarah tersebut dilaksanakan.

Persoalannya apa gunanya menjadi kuat dan sekadar menang kerusi dalam pilihan raya sedangkan hak dan kepentingan orang Melayu semakin terhakis.

Justeru berlapang dada dan bersikap terbukalah dalam menyambut usaha yang dilakukan UMNO dan Pas ini.

Apa yang penting ialah masa depan dan kepentingan orang Melayu serta kehidupan anak cucu kita nanti.

Kalau segala perkara yang baik dilihat dalam konteks politik maka percayalah suatu hari kelak orang Melayu akan menjadi pelarian di tanah ari sendiri.

Semoga apa yang diusahakan oleh UMNO dan Pas akan mencapai kejayaan dan sekali gus memberi petanda bahawa dalam soal menyentuh hak dan kepentingan Melayu serta Islam, perbezaan ideologi bukanlah satu tembok yang tidak boleh dirobohkan.

sumber: utusan malaysia online 26 Julai 2008

Pensyarah Ph.D dinaikkan ke gred 51

PUTRAJAYA 25 Julai - Kerajaan bersetuju supaya semua pensyarah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang mempunyai kelayakan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dinaikkan ke gred 51.

Mengikut Skim Perkhidmatan Pensyarah Universiti, mereka sepatutnya hanya dilantik ke gred 45.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, calon-calon yang mempunyai Ph.D dianggap mempunyai kecemerlangan yang tinggi dalam memperkasakan kualiti pengajaran dan pembelajaran di IPTA.

Pada masa sama, kata beliau, bagi calon-calon dari industri yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang tertentu juga boleh dilantik terus ke gred 51 untuk berkhidmat sebagai pensyarah.

"Ini supaya mereka dapat bersama-sama membantu meningkatkan kecemerlangan di IPTA.

"Kesemua keputusan ini terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang akan dikemukakan kepada Kabinet minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara 2007 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, semua IPTA wajar memastikan kenaikan gred untuk pensyarah berkelulusan Ph.D itu dilaksanakan dengan segera.

"Ini supaya matlamat Pelan Strategi Pendidikan Tinggi Negara dalam memperkasakan IPTA dapat direalisasikan melalui pengambilan tenaga akademik yang berkualiti, berpengetahuan dan berpengalaman luas," katanya.

sumber: Utusan malaysia online 26 Julai 2008