Wednesday 19 December 2007

Pelihara solat walau dalam apa keadaan
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMMAD AL-BAKRI

FIRMAN Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 239)

Sayid Qutub berkata: Agama ini sungguh mengkagumkan. Ia adalah agama ibadat, iaitu ibadat dalam segala bentuk rupa dan solat itulah judul utamanya, dan menerusi ibadat manusia dapat sampai ke makam yang setinggi-tingginya.

Menerusi ibadat juga Allah mengukuhkan pendiriannya di dalam kesusahan dan mendidik dirinya dengan baik di dalam kesenangan dan kemewahan. Seterusnya melalui ibadat juga Allah memasukkannya ke dalam kedamaian dengan seluruh jiwa raganya dan melimpahkan ke atasnya nikmat keamanan dan kesejahteraan.


Mengancam

Oleh sebab itulah ibadat solat diberi perhatian yang begitu tinggi walaupun ketika pedang terhunus di tangan dan pedang musuh mengancam di lehernya.

Apabila berada dalam suasana aman, maka hendaklah mereka dirikan solat biasa yang diajarkan Allah kepada kaum Muslimin dan hendaklah mereka mengingati Allah sebagai bersyukur terhadap apa yang diajarkan Allah tentang hal-hal yang tidak diketahui mereka.

Firman Allah Taala: Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, Al-Mawardi berkata: Ulama telah khilaf kadar solat mereka. Jumhur telah berpendapat dengan dua rakaat. Sedangkan al-Hassan satu rakaat sahaja jika dalam ketakutan.

Sayid Qutub berkata: Jika seseorang itu menghadapi ketakutan yang tidak memberi peluang untuk mendirikan solat dengan menghala ke kiblat, maka solat hendaklah ditunaikan terus tanpa terhenti. Dan di sini yang menunggang binatang dan yang berjalan kaki dan sibuk bertempur dan menghindari bahaya dibenarkan menghadap ke arah mana sahaja yang sesuai dengan keadaannya dan bolehlah ia membuat isyarat-isyarat yang ringan untuk sujud dan rukuk.

Solat ini berlainan daripada solat yang dinyatakan kaifiatnya di dalam surah an-Nisa’. Kerana solat yang diterangkan di dalam surah an-Nisa' itu adalah dikerjakan dalam keadaan, di mana kedudukan medan perang membenarkan diletakkan satu saf makmum yang mengawalnya, kemudian datang pula saf yang kedua pula bersembahyang serakaat sementara saf yang pertama yang telah telah bersembahyang kali yang pertama tadi berdiri mengawalnya.

Tetapi jika keadaan ketakutan itu bertambah dan pertempuran sedang berlaku, maka solat yang disebut dalam surah al-Baqarah di sini yang diamalkan.

Perintah solat ini amat mengkagumkan. Ia menunjukkan bagaimana pentingnya solat pada pandangan Allah yang menyarankan kepada hati kaum Muslimin bahawa solat selaku senjata untuk menghadapi ketakutan dan kesusahan. Oleh sebab itu solat tidak seharusnya ditinggal di saat-saat ketakutan yang sedang memuncak.

Solat adalah senjata. Oleh kerana itu ia ditunaikan oleh pejuang Islam di medan pertempuran ketika pedang terhunus di tangannya dan ketika pedang (musuh) menghayun di atas kepalanya. Ia tetap menunaikan solat kerana solat adalah senjata Mukmin sama seperti pedang yang terhunus di tangannya. Solat adalah perisai Mukmin sama seperti perisai yang melindunginya. Ia menunaikan solat untuk berhubung dengan Allah di saat-saat yang paling diperlukannya, di saat-saat yang dirasakannya paling dekat kepada Allah, iaitu ketika ketakutan mengepung di sekelilingnya.

Firman Allah Taala: Kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna),

Al-Baghawi berkata: Maksud zikrullah ialah solat lima waktu yang sempurna dengan segala haknya.

Ibnu al-Arabi berkata: Allah s.w.t. memerintahkan supaya solat dipelihara dalam segenap keadaan, sama ada ketika sihat, sakit, bermukim, bermusafir, ketika kuat, ketika lemah, ketika takut dan ketika aman. Kewajipan solat tidak gugur daripada orang yang mukalaf dengan apa keadaan sekalipun dan kefarduannya tidak terjejas sedikitpun.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Solatlah sambil berdiri, kalau engkau tidak mampu solatlah sambil duduk, kalau engkau tidak mampu solatlah sambil mengiring.

Baginda bersabda dalam hadis sahih daripada riwayat Ibnu Umar berkaitan solat ketika takut:Jika ketakutan itu lebih kuat daripada yang demikian, maka solatlah sama ada secara berdiri atau berkenderaan, menghadap kiblat atau tidak mengadap kiblat.

Rasulullah s.a.w. pernah menunaikan solat khauf (semasa dalam ketakutan ) beberapa kali dengan pelbagai cara. Kami telah menyebutkannya secara terperinci dalam kitab-kitab hadis. Tujuannya untuk memberitahu bahawa solat hendaklah didirikan bagaimana cara yang terdaya dan kewajipannya tidak gugur dalam keadaan apa sekalipun. Meskipun ia hanya mampu dilakukan secara mengisyaratkan dengan anak mata maka ia mesti dilakukan.

Begitu juga jika tidak mampu, digerakkan anggota tubuh yang lain. Dengan pengertian ini maka solat berbeza daripada ibadat-ibadat yang lain. Hal ini kerana ibadat yang lain gugur kewajipannya apabila terdapat keuzuran dan diberikan rukhsah (keringanan) yang lemah. Sebab itulah para ulama kami mengatakan solat ialah persoalan yang paling besar: Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat dihukum bunuh kerana solat menyerupai imam yang tidak boleh gugur dalam apa jua keadaan. Mereka menyatakan solat salah satu tunggak agama Islam yang tidak boleh digantikan dengan batang tubuh orang lain atau harta benda. Orang yang meninggalkannya perlu dihukum bunuh. Tunggak asalnya ialah dua kalimah syahadah.

Abu Hanifah mengatakan: Berperang menyebabkan solat itu menjadi rosak (batal). Kami telah menolak pandangannya dengan mengemukakan dalil melalui jalan periwayatan Ibnu Umar dan keterangan zahir ayat al-Quran ini merupakan dalil terkuat yang dapat menolak pandangan beliau.

Sonhaji berkata: Tetapi jika telah berada dalam keadaan aman kembali atau tidak berada dalam ketakutan lagi maka sembahyanglah seperti biasa. Sebutlah dan ingatlah kembali kepada Allah.

Firman Allah Taala: Sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Al-Alusi berkata: Faedah menyebut maf'ul fih di sini sekalipun manusia tidak mengetahui kecuali apa yang tidak diketahui secara jelas dengan menyebut keadaan jahil yang berpindah daripadanya. Maka ia lebih nyata dalam kurniaan.

Sebagaimana Dia telah mengajarkan kamu apa yang kamu tidak ketahui yakni mengisyaratkan bahawa Allah mengurniakan kita nikmat ilmu pengetahuan, kalaulah tidak dengan adanya hidayat dan tunjuk ajar-Nya tiadalah dapat kita mengetahui sesuatu. Maka kepada-Nya terserah segala pujian.

Iktibar Ayat

- Solat tidak gugur dalam apa jua keadaan sekalipun.

- Solat merupakan ibadat yang mulia sebagai hubungan antara hamba dengan tuhannya.

- Pensyariatan solat khauf semasa dalam ketakutan atau peperangan menandakan kepentingan solat.
Pensyarah muda masih dangkal ilmu
Oleh Siti Suriani Othman

Ahli akademik perlu berhemah buat teguran

ALIRAN di negara kita pada masa sekarang menunjukkan ramai di kalangan pensyarah universiti tergolong daripada golongan muda. Hal ini secara tidak langsung memberi banyak petanda, sama ada baik atau sebaliknya.

Antaranya, keadaan ini menunjukkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan tinggi di kalangan rakyat Malaysia, sehingga ramai yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas ijazah pertama (sama ada peringkat sarjana atau doktor falsafah) yang secara tidak langsung melambangkan pendemokrasian pendidikan semakin berkembang.



Sebaliknya, keadaan ini pernah merisaukan seorang profesor dalam perbualan kami mengenai 'watak muda' yang mula membanjiri bidang akademik tanah air. Katanya, hal ini juga memberi isyarat negatif, menunjukkan ramai anak muda hari ini seolah-olah tidak mempunyai pilihan lain lalu menyambung pengajian selepas tamat ijazah pertama.

Dalam hal ini, memandangkan kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan, jadi pilihan untuk melanjutkan pelajaran adalah pilihan terakhir dilakukan dengan 'terpaksa'. Akhirnya, selepas tamat, mereka berjaya juga menjadi pensyarah universiti.

Namun, golongan ini tidak mampu menunjukkan tahap intelektual yang tinggi. Perkara ini tidak berlaku pada zamannya.

Mungkin hal ini ada benarnya, memandangkan ramai graduan hari ini boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana hanya dengan keputusan keseluruhan minimum 3.00. Namun, secara peribadinya, saya tidak begitu setuju dengan pandangan ini memandangkan seseorang yang berjaya menghabiskan pengajian pada peringkat sarjana pastinya mempunyai paling tidak, satu peringkat intelektual yang agak tinggi berbanding mereka yang tidak.

Namun, perbualan dengan seorang rakan yang juga seorang pensyarah muda baru-baru ini membuatkan saya terfikir, mungkin ada benarnya apa yang dikatakan oleh profesor itu. Memang benar, sesetengah daripada kita (golongan pensyarah muda) agak cetek ilmu.

Namun, hal ini biasa memandangkan ilmu perlu diteguk perlahan-lahan dan ia memakan masa lama. Apa yang memburukkan keadaan ialah sesetengah pensyarah muda yang agak terbawa-bawa dengan perasaan, yang kadang kala berasakan diri banyak pengetahuan dan berasa kita lebih hebat daripada orang lain.

Kami membicarakan mengenai penerbitan akademik, misalnya ialah buku penerbitan. Lalu, rakan saya ini memberikan satu tajuk buku kepada saya sebagai cadangan bacaan. Bukunya berbentuk motivasi, terbitan Barat dan bukan buku ilmiah.

Berbanding buku yang pernah saya tulis, Membongkar Rahsia Penulisan Berita Objektif: Pengenalan Kepada Semantik Umum di Malaysia: 2006, dia memberi pendapat buku yang dicadangkan itu jauh lebih baik berbanding buku tulisan saya, dan mempunyai ruang lingkup khalayak yang ramai.

Pendapat ini pada saya amat kelakar! Bukan tidak boleh dikritik, tetapi apa yang jelas, pensyarah muda ini kurang peka dan kurang faham mengenai maksud sebenar penulisan ilmiah. Tambahan lagi, perbezaan yang dilakukannya (antara sebuah buku motivasi dan buku ilmiah) adalah ibarat membezakan ayam dengan lembu.

Memang kedua-duanya adalah buku, tetapi dalam genre yang amat berbeza. Sama sekali tidak akan boleh kita membezakan antara ayam dengan lembu. Ayam lebih baik atau lembu? Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan, tetapi sentiasa berada dalam 'reban' atau 'ladang' sama.

Maksudnya, penerbitan buku apa sekalipun, walaupun dalam bentuk buku komersial atau buku ilmiah sentiasa dilingkungi kovensyen penulisan dan penerbitan buku dalam genre terbabit. Penulisan tidak boleh dilakukan sesuka hati, malah buku tidak akan boleh diterbitkan tanpa mengikut konvensyen penerbitan buku.

Perbualan ini membuatkan saya terfikir, mungkinkah ada pensyarah muda harapan Malaysia yang sedangkal ini fikirannya? Sedangkan, perkara ini jarang berlaku di kalangan akademia yang agak berusia (hal ini mungkin mengiyakan kenyataan profesor tadi), yang kebanyakan saya kenali bersikap seperti resmi padi.

Misalnya, dalam satu persidangan peringkat kebangsaan awal tahun ini di Johor Bahru, saya membentangkan satu kertas kerja yang bukan dalam bidang kepakaran (kewartawanan), tetapi mengenai penulisan ilmiah di Malaysia.

Selepas pembentangan itu, saya disapa oleh seorang profesor emeritus yang turut mendengar pembentangan sesi itu. Beliau menegur satu perkara mengenai kertas kerja itu yang pada saya, jika beliau mahu menunjukkan kehebatan dan statusnya, beliau boleh berbuat demikian di khalayak ramai dan saya dimalukan.

Tetapi, itu bukan sifat orang yang bijak serta pandai membawa diri. Biarpun teguran itu berfakta, ia tetap dilakukan dengan berhemah. Berbeza dengan rakan tadi, sudahlah tidak berfakta, tidak pula berhemah. Sekali lagi, kenyataan profesor tadi semakin benar dalam hati saya.

Perkara ini bukan kecil kepada semua pensyarah muda. Sebelum mengkritik apa saja, perlulah penuhkan ilmu di dada. Misalnya, penerbitan ilmiah dalam bentuk piawaiannya terdiri daripada esei, kertas kajian, tesis, kertas persidangan, artikel kajian, abstrak, bab dalam buku, buku serta hasil terjemahan.

Itu adalah antara bentuk penerbitan ilmiah yang biasa di kalangan ahli akademik. Berbanding buku komersial, pastinya ruang lingkup perbincangan adalah lebih fokus kepada bidang ilmu yang dibincangkan, sekali gus mengurangkan jumlah sasaran khalayak.

Hal ini dimaklumi semua ahli akademik, bahkan hal ini pernah dibincangkan dalam satu bengkel penerbitan ilmiah yang dibawakan Prof Madya Dr Hamedi dari Universiti Malaya mengenai betapa buku ilmiah kurang mendapat sambutan.

Bahkan, untuk mencapai jualan sehingga 500 naskhah pun belum tentu. Pastinya, jika perbandingan dibuat antara prospek buku ilmiah dan buku komersial, ia bukan perbandingan setara.

Sifat kurang ilmu, tetapi suka bercakap tanpa asas sepatutnya dielakkan pensyarah muda. Perbuatan sebegini bukan hanya merosak imej peribadi pensyarah, malah secara tidak langsung tahap ilmunya dipersoal serta mencalar imej organisasi.

Malah, satu penulisan saya (dalam Berita Harian 2007) mengenai kebanyakan kita yang begitu payah untuk beratur di tandas awam juga pernah ditegur sinis ahli akademik. Buat apalah pensyarah tulis mengenai tandas!

Pada saya, sikap beratur di tandas awam membawa implikasi falsafah etika penting. Ia penting, namun agak susah untuk diterangkan kepada masyarakat umum mengenai kepentingannya. Ia juga tidak dijadikan satu amalan yang dilihat penting kebanyakan kita.

Namun, di sebalik persoalan yang nampak mudah ini, tersirat falsafah amat tinggi. Misalnya, kenapa hal ini tidak berlaku di negara Barat? Pemerhatian sepanjang beberapa bulan di United Kingdom menunjukkan, setiap individu beratur di kaunter walaupun hanya ada seorang lain di hadapannya.

Hal ini boleh dikaji dalam bentuk lebih mendalam dan menjurus kepada bidang ilmu tertentu seperti melihat kepada falsafah di sebalik ketidakakuran ini, misalnya dalam konteks falsafah Timur dan Barat atau mengkajinya dalam kajian bidang sosiologi atau psikologi.

Tetapi, hasil kajian ini nanti terbatas dan istilahnya kurang difahami masyarakat massa. Justeru, akhbarlah satu-satunya ruang untuk menyalurkan idea itu dengan cepat, sasaran yang tepat dan dengan bahasa difahami semua.

Sekali lagi, bercakaplah apabila berilmu, tidak perlu mengaku semua tahu. Moga tulisan ringkas ini boleh membuka mata dan pastinya tidak semua pensyarah muda begini.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia yang kini melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD di United Kingdom.