Wednesday 19 December 2007

Pelihara solat walau dalam apa keadaan
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMMAD AL-BAKRI

FIRMAN Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 239)

Sayid Qutub berkata: Agama ini sungguh mengkagumkan. Ia adalah agama ibadat, iaitu ibadat dalam segala bentuk rupa dan solat itulah judul utamanya, dan menerusi ibadat manusia dapat sampai ke makam yang setinggi-tingginya.

Menerusi ibadat juga Allah mengukuhkan pendiriannya di dalam kesusahan dan mendidik dirinya dengan baik di dalam kesenangan dan kemewahan. Seterusnya melalui ibadat juga Allah memasukkannya ke dalam kedamaian dengan seluruh jiwa raganya dan melimpahkan ke atasnya nikmat keamanan dan kesejahteraan.


Mengancam

Oleh sebab itulah ibadat solat diberi perhatian yang begitu tinggi walaupun ketika pedang terhunus di tangan dan pedang musuh mengancam di lehernya.

Apabila berada dalam suasana aman, maka hendaklah mereka dirikan solat biasa yang diajarkan Allah kepada kaum Muslimin dan hendaklah mereka mengingati Allah sebagai bersyukur terhadap apa yang diajarkan Allah tentang hal-hal yang tidak diketahui mereka.

Firman Allah Taala: Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, Al-Mawardi berkata: Ulama telah khilaf kadar solat mereka. Jumhur telah berpendapat dengan dua rakaat. Sedangkan al-Hassan satu rakaat sahaja jika dalam ketakutan.

Sayid Qutub berkata: Jika seseorang itu menghadapi ketakutan yang tidak memberi peluang untuk mendirikan solat dengan menghala ke kiblat, maka solat hendaklah ditunaikan terus tanpa terhenti. Dan di sini yang menunggang binatang dan yang berjalan kaki dan sibuk bertempur dan menghindari bahaya dibenarkan menghadap ke arah mana sahaja yang sesuai dengan keadaannya dan bolehlah ia membuat isyarat-isyarat yang ringan untuk sujud dan rukuk.

Solat ini berlainan daripada solat yang dinyatakan kaifiatnya di dalam surah an-Nisa’. Kerana solat yang diterangkan di dalam surah an-Nisa' itu adalah dikerjakan dalam keadaan, di mana kedudukan medan perang membenarkan diletakkan satu saf makmum yang mengawalnya, kemudian datang pula saf yang kedua pula bersembahyang serakaat sementara saf yang pertama yang telah telah bersembahyang kali yang pertama tadi berdiri mengawalnya.

Tetapi jika keadaan ketakutan itu bertambah dan pertempuran sedang berlaku, maka solat yang disebut dalam surah al-Baqarah di sini yang diamalkan.

Perintah solat ini amat mengkagumkan. Ia menunjukkan bagaimana pentingnya solat pada pandangan Allah yang menyarankan kepada hati kaum Muslimin bahawa solat selaku senjata untuk menghadapi ketakutan dan kesusahan. Oleh sebab itu solat tidak seharusnya ditinggal di saat-saat ketakutan yang sedang memuncak.

Solat adalah senjata. Oleh kerana itu ia ditunaikan oleh pejuang Islam di medan pertempuran ketika pedang terhunus di tangannya dan ketika pedang (musuh) menghayun di atas kepalanya. Ia tetap menunaikan solat kerana solat adalah senjata Mukmin sama seperti pedang yang terhunus di tangannya. Solat adalah perisai Mukmin sama seperti perisai yang melindunginya. Ia menunaikan solat untuk berhubung dengan Allah di saat-saat yang paling diperlukannya, di saat-saat yang dirasakannya paling dekat kepada Allah, iaitu ketika ketakutan mengepung di sekelilingnya.

Firman Allah Taala: Kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna),

Al-Baghawi berkata: Maksud zikrullah ialah solat lima waktu yang sempurna dengan segala haknya.

Ibnu al-Arabi berkata: Allah s.w.t. memerintahkan supaya solat dipelihara dalam segenap keadaan, sama ada ketika sihat, sakit, bermukim, bermusafir, ketika kuat, ketika lemah, ketika takut dan ketika aman. Kewajipan solat tidak gugur daripada orang yang mukalaf dengan apa keadaan sekalipun dan kefarduannya tidak terjejas sedikitpun.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Solatlah sambil berdiri, kalau engkau tidak mampu solatlah sambil duduk, kalau engkau tidak mampu solatlah sambil mengiring.

Baginda bersabda dalam hadis sahih daripada riwayat Ibnu Umar berkaitan solat ketika takut:Jika ketakutan itu lebih kuat daripada yang demikian, maka solatlah sama ada secara berdiri atau berkenderaan, menghadap kiblat atau tidak mengadap kiblat.

Rasulullah s.a.w. pernah menunaikan solat khauf (semasa dalam ketakutan ) beberapa kali dengan pelbagai cara. Kami telah menyebutkannya secara terperinci dalam kitab-kitab hadis. Tujuannya untuk memberitahu bahawa solat hendaklah didirikan bagaimana cara yang terdaya dan kewajipannya tidak gugur dalam keadaan apa sekalipun. Meskipun ia hanya mampu dilakukan secara mengisyaratkan dengan anak mata maka ia mesti dilakukan.

Begitu juga jika tidak mampu, digerakkan anggota tubuh yang lain. Dengan pengertian ini maka solat berbeza daripada ibadat-ibadat yang lain. Hal ini kerana ibadat yang lain gugur kewajipannya apabila terdapat keuzuran dan diberikan rukhsah (keringanan) yang lemah. Sebab itulah para ulama kami mengatakan solat ialah persoalan yang paling besar: Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat dihukum bunuh kerana solat menyerupai imam yang tidak boleh gugur dalam apa jua keadaan. Mereka menyatakan solat salah satu tunggak agama Islam yang tidak boleh digantikan dengan batang tubuh orang lain atau harta benda. Orang yang meninggalkannya perlu dihukum bunuh. Tunggak asalnya ialah dua kalimah syahadah.

Abu Hanifah mengatakan: Berperang menyebabkan solat itu menjadi rosak (batal). Kami telah menolak pandangannya dengan mengemukakan dalil melalui jalan periwayatan Ibnu Umar dan keterangan zahir ayat al-Quran ini merupakan dalil terkuat yang dapat menolak pandangan beliau.

Sonhaji berkata: Tetapi jika telah berada dalam keadaan aman kembali atau tidak berada dalam ketakutan lagi maka sembahyanglah seperti biasa. Sebutlah dan ingatlah kembali kepada Allah.

Firman Allah Taala: Sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Al-Alusi berkata: Faedah menyebut maf'ul fih di sini sekalipun manusia tidak mengetahui kecuali apa yang tidak diketahui secara jelas dengan menyebut keadaan jahil yang berpindah daripadanya. Maka ia lebih nyata dalam kurniaan.

Sebagaimana Dia telah mengajarkan kamu apa yang kamu tidak ketahui yakni mengisyaratkan bahawa Allah mengurniakan kita nikmat ilmu pengetahuan, kalaulah tidak dengan adanya hidayat dan tunjuk ajar-Nya tiadalah dapat kita mengetahui sesuatu. Maka kepada-Nya terserah segala pujian.

Iktibar Ayat

- Solat tidak gugur dalam apa jua keadaan sekalipun.

- Solat merupakan ibadat yang mulia sebagai hubungan antara hamba dengan tuhannya.

- Pensyariatan solat khauf semasa dalam ketakutan atau peperangan menandakan kepentingan solat.
Pensyarah muda masih dangkal ilmu
Oleh Siti Suriani Othman

Ahli akademik perlu berhemah buat teguran

ALIRAN di negara kita pada masa sekarang menunjukkan ramai di kalangan pensyarah universiti tergolong daripada golongan muda. Hal ini secara tidak langsung memberi banyak petanda, sama ada baik atau sebaliknya.

Antaranya, keadaan ini menunjukkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan tinggi di kalangan rakyat Malaysia, sehingga ramai yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas ijazah pertama (sama ada peringkat sarjana atau doktor falsafah) yang secara tidak langsung melambangkan pendemokrasian pendidikan semakin berkembang.



Sebaliknya, keadaan ini pernah merisaukan seorang profesor dalam perbualan kami mengenai 'watak muda' yang mula membanjiri bidang akademik tanah air. Katanya, hal ini juga memberi isyarat negatif, menunjukkan ramai anak muda hari ini seolah-olah tidak mempunyai pilihan lain lalu menyambung pengajian selepas tamat ijazah pertama.

Dalam hal ini, memandangkan kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan, jadi pilihan untuk melanjutkan pelajaran adalah pilihan terakhir dilakukan dengan 'terpaksa'. Akhirnya, selepas tamat, mereka berjaya juga menjadi pensyarah universiti.

Namun, golongan ini tidak mampu menunjukkan tahap intelektual yang tinggi. Perkara ini tidak berlaku pada zamannya.

Mungkin hal ini ada benarnya, memandangkan ramai graduan hari ini boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana hanya dengan keputusan keseluruhan minimum 3.00. Namun, secara peribadinya, saya tidak begitu setuju dengan pandangan ini memandangkan seseorang yang berjaya menghabiskan pengajian pada peringkat sarjana pastinya mempunyai paling tidak, satu peringkat intelektual yang agak tinggi berbanding mereka yang tidak.

Namun, perbualan dengan seorang rakan yang juga seorang pensyarah muda baru-baru ini membuatkan saya terfikir, mungkin ada benarnya apa yang dikatakan oleh profesor itu. Memang benar, sesetengah daripada kita (golongan pensyarah muda) agak cetek ilmu.

Namun, hal ini biasa memandangkan ilmu perlu diteguk perlahan-lahan dan ia memakan masa lama. Apa yang memburukkan keadaan ialah sesetengah pensyarah muda yang agak terbawa-bawa dengan perasaan, yang kadang kala berasakan diri banyak pengetahuan dan berasa kita lebih hebat daripada orang lain.

Kami membicarakan mengenai penerbitan akademik, misalnya ialah buku penerbitan. Lalu, rakan saya ini memberikan satu tajuk buku kepada saya sebagai cadangan bacaan. Bukunya berbentuk motivasi, terbitan Barat dan bukan buku ilmiah.

Berbanding buku yang pernah saya tulis, Membongkar Rahsia Penulisan Berita Objektif: Pengenalan Kepada Semantik Umum di Malaysia: 2006, dia memberi pendapat buku yang dicadangkan itu jauh lebih baik berbanding buku tulisan saya, dan mempunyai ruang lingkup khalayak yang ramai.

Pendapat ini pada saya amat kelakar! Bukan tidak boleh dikritik, tetapi apa yang jelas, pensyarah muda ini kurang peka dan kurang faham mengenai maksud sebenar penulisan ilmiah. Tambahan lagi, perbezaan yang dilakukannya (antara sebuah buku motivasi dan buku ilmiah) adalah ibarat membezakan ayam dengan lembu.

Memang kedua-duanya adalah buku, tetapi dalam genre yang amat berbeza. Sama sekali tidak akan boleh kita membezakan antara ayam dengan lembu. Ayam lebih baik atau lembu? Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan, tetapi sentiasa berada dalam 'reban' atau 'ladang' sama.

Maksudnya, penerbitan buku apa sekalipun, walaupun dalam bentuk buku komersial atau buku ilmiah sentiasa dilingkungi kovensyen penulisan dan penerbitan buku dalam genre terbabit. Penulisan tidak boleh dilakukan sesuka hati, malah buku tidak akan boleh diterbitkan tanpa mengikut konvensyen penerbitan buku.

Perbualan ini membuatkan saya terfikir, mungkinkah ada pensyarah muda harapan Malaysia yang sedangkal ini fikirannya? Sedangkan, perkara ini jarang berlaku di kalangan akademia yang agak berusia (hal ini mungkin mengiyakan kenyataan profesor tadi), yang kebanyakan saya kenali bersikap seperti resmi padi.

Misalnya, dalam satu persidangan peringkat kebangsaan awal tahun ini di Johor Bahru, saya membentangkan satu kertas kerja yang bukan dalam bidang kepakaran (kewartawanan), tetapi mengenai penulisan ilmiah di Malaysia.

Selepas pembentangan itu, saya disapa oleh seorang profesor emeritus yang turut mendengar pembentangan sesi itu. Beliau menegur satu perkara mengenai kertas kerja itu yang pada saya, jika beliau mahu menunjukkan kehebatan dan statusnya, beliau boleh berbuat demikian di khalayak ramai dan saya dimalukan.

Tetapi, itu bukan sifat orang yang bijak serta pandai membawa diri. Biarpun teguran itu berfakta, ia tetap dilakukan dengan berhemah. Berbeza dengan rakan tadi, sudahlah tidak berfakta, tidak pula berhemah. Sekali lagi, kenyataan profesor tadi semakin benar dalam hati saya.

Perkara ini bukan kecil kepada semua pensyarah muda. Sebelum mengkritik apa saja, perlulah penuhkan ilmu di dada. Misalnya, penerbitan ilmiah dalam bentuk piawaiannya terdiri daripada esei, kertas kajian, tesis, kertas persidangan, artikel kajian, abstrak, bab dalam buku, buku serta hasil terjemahan.

Itu adalah antara bentuk penerbitan ilmiah yang biasa di kalangan ahli akademik. Berbanding buku komersial, pastinya ruang lingkup perbincangan adalah lebih fokus kepada bidang ilmu yang dibincangkan, sekali gus mengurangkan jumlah sasaran khalayak.

Hal ini dimaklumi semua ahli akademik, bahkan hal ini pernah dibincangkan dalam satu bengkel penerbitan ilmiah yang dibawakan Prof Madya Dr Hamedi dari Universiti Malaya mengenai betapa buku ilmiah kurang mendapat sambutan.

Bahkan, untuk mencapai jualan sehingga 500 naskhah pun belum tentu. Pastinya, jika perbandingan dibuat antara prospek buku ilmiah dan buku komersial, ia bukan perbandingan setara.

Sifat kurang ilmu, tetapi suka bercakap tanpa asas sepatutnya dielakkan pensyarah muda. Perbuatan sebegini bukan hanya merosak imej peribadi pensyarah, malah secara tidak langsung tahap ilmunya dipersoal serta mencalar imej organisasi.

Malah, satu penulisan saya (dalam Berita Harian 2007) mengenai kebanyakan kita yang begitu payah untuk beratur di tandas awam juga pernah ditegur sinis ahli akademik. Buat apalah pensyarah tulis mengenai tandas!

Pada saya, sikap beratur di tandas awam membawa implikasi falsafah etika penting. Ia penting, namun agak susah untuk diterangkan kepada masyarakat umum mengenai kepentingannya. Ia juga tidak dijadikan satu amalan yang dilihat penting kebanyakan kita.

Namun, di sebalik persoalan yang nampak mudah ini, tersirat falsafah amat tinggi. Misalnya, kenapa hal ini tidak berlaku di negara Barat? Pemerhatian sepanjang beberapa bulan di United Kingdom menunjukkan, setiap individu beratur di kaunter walaupun hanya ada seorang lain di hadapannya.

Hal ini boleh dikaji dalam bentuk lebih mendalam dan menjurus kepada bidang ilmu tertentu seperti melihat kepada falsafah di sebalik ketidakakuran ini, misalnya dalam konteks falsafah Timur dan Barat atau mengkajinya dalam kajian bidang sosiologi atau psikologi.

Tetapi, hasil kajian ini nanti terbatas dan istilahnya kurang difahami masyarakat massa. Justeru, akhbarlah satu-satunya ruang untuk menyalurkan idea itu dengan cepat, sasaran yang tepat dan dengan bahasa difahami semua.

Sekali lagi, bercakaplah apabila berilmu, tidak perlu mengaku semua tahu. Moga tulisan ringkas ini boleh membuka mata dan pastinya tidak semua pensyarah muda begini.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia yang kini melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD di United Kingdom.

Monday 27 August 2007

Novel : Angkatan Baru


Novel setebal 70 halaman ini aku miliki pada 18 Ogos 2007, semperna muktamar di SMKAKL. Dibeli dari taman buku sahabat yang minta didoakan agar menjadi ahli perniagaan muslim yang berjaya dan menjadi pendakwah muslim yang sejati, Ameen. Semoga usaha kalian diberkati.


Hasil tulisan Pak Hamka sering sahaja menjadi perhatianku untuk mengupas pengisian yang ingin disampaikan oleh Pendakwah jua Pujangga nusantara yang ulung ini.



Kisah benar yang berlaku dalam masyarakat diolah jadi panduan buat pembacanya. Kisah penulisan Pak Hamka ini masih lagi berkisar dalam masyarakat Minangkabau. Watak Hasan dan Syamsiar menguasai perjalanan kisah yang berlatarkan kehidupan suami isteri dari dua dunia yang berbeza, walau dari sudut pendidikan agama yang kelihatan sama. Mengisahkan dilema yang dihadapi oleh sang suami yang berjiwa besar membangunkan ilmu terperangkap dengan 'cinta' sang isteri dan keluarga barunya. Satu-persatu ujian yang datang dihadapi dengan hikmah dan mampu dijadikan pengajaran buat kita yang membacanya.


" ..Tetapi kerana Hassan bukan seorang anak muda yang suka lupa daratan terlalu lama, yang masih suci batinnya dan telah kenal pula sedikit-sedikit untuk memikul kewajipan, tidaklah lama dia merasa senang dalam keadaan yang demikian.


Sudah mulai timbul dalam hatinya, apakah memang bersuami isteri itu hanya sekadar memujuk bercumbu? apakah seorang isteri yang hanya pandai memagut-magut, memeluk mencium, bersenda gurau tertawa bersolek, berbedak berlanggir, apakah isteri yang begitu dapat dibawa ketengah gelanggang penghidupan yang kian lama kian sulit itu? Adakah isteri yang demikian patut disebut kawan hidup, atau hanya patut disebut kawan tidur?


Jika sekiranya tanggungan rumahtangga mulai berat kelak, misalnya dianugerahi Allah putera untuk menyambung keturunan, atau diberi Allah mata pekerjaan di lain negeri, hingga terpaksa meninggalkan kampung halaman adakah akan sanggup isteri yang demikian melayarkan bahtera penghidupan?


Dapatkah akan berisi perut dengan semata-mata pandai berpidato? tapi tidak pandai memasak? sudahkan bernama kemajuan seorang isteri yang hanya sanggup berganti pakaian lima kali sehari, dan memakai kimono halusnya bila hari telah petang? Apalagi kalau pendapatan si suami itu kecil pula?


Mulai terbayang rasa kecewa di hati Hasan, pendidikan apakan kiranya yang diberikan oleh guru-guru yang berdiploma tinggi itu kepada murid-muridnya? Apakah bagi anak perempuan sudah cukup alat untuk merenangi penghidupan dengan mempelajari mabaadi kimia, mabaadi ilmu alam, mabaadi falsafah, sekali lagi maabadi, padahal tidak diadakan bentukan pada hari kemudiannya? InilahIsterinya, isteri yang diharapkannya akan jadi temannya menyeberangi hidup yang masin dan pajit ini? " - (Petikan dari novel Angkatan Baru)

Friday 20 July 2007

Tips : Membendung rasa takut atau gementar semasa berucap

Bagi membendung rasa takut dan gementar semasa berucap, berikut adalah 25 langkah yang boleh dijadikan panduan dalam mengatasi masalah anda:

  1. Berdoa kepada Tuhan agar anda diberi ketenangan dan kejayaan ketika berucap.
  2. Tarik nafas dalam-dalam bagi mengurangkan ketegangan pada tubuh. Langkah ini dapat mengurangkan rasa gugup anda ketika berhadapan dengan orang ramai.
  3. Anggap khalayak sebagai rakan anda dan angan terlalu risau dengan jumlah hadirin yang ramai.
  4. Elakkan menjalin pertemuan mata dengan setiap orang sebaliknya melihat ke arah aras kepala setiap orang seolah-olah anda melihat mereka.
  5. Datang lebih awal ketempat anda berucap supaya anda dapat mengenali dan menguasai lokasi terbabit. Dekati hadirin anda dan berbual dengan mereka kerana secara psikologinya ia memberi keyakinan apabila anda mula berucap.
  6. Jalin hubungan mata dengan khayalak yang mesra dan melemparkan senyuman kepada anda atau mengangguk kerana dengan cara itu anda tidak merasa tertekan berbanding melihat wajah yang serius.
  7. Yakinkan diri anda akan berjaya dan bersikap positif. Khayalak sebenarnya tidak ingin melihat anda gementar atau takut kerana mereka mahu mendengar ucapan umum yang baik dan berinformasi.
  8. Elakkan daripada memegang kertas kerana jika anda gementar ia akan kelihatan terketar-ketar dan ini akan menambahkan perasaan gementar serta tertekan.
  9. Cuba hafal kenyataan minit-minit awal supaya anda akan kelihatan yakin berada di hadapan.
  10. Tanya soalan juga satu cara untuk membunuh rasa takut dan gementar.
  11. Buat persediaan yang cukup kerana kajian mendapati kurangnya persiapan membuatkan anda lebih gementar. Dapatkan data, statistik, maklumat dan contoh yang sesuai supaya anda dilihat sepuluh langkah di hadapan berbanding khalayak.
  12. Belatih dan terus berlatih membuatkan anda lebih bersedia. Jika tidak mahu bercakap di hadapan rakan, gunakan cermin sebagai langkah berlatih.
  13. Cuba tenangkan diri secara jasmani sebelum berucap. Ambil beberapa langkah untuk bertenang seperti mandi, berenang dan mendengar muzik.
  14. Buat permulaan berdiri di belakang podium atau rostrum akan membunuh rasa takut dan gementar tetapi kawal bahasa badan anda dengan tidak berpegang kepada rostrum berkenaan.
  15. Berjalan di tengah khalayak ramai apabila sudah mendapat keyakinan. Dengan cara ini anda sebenarnya sudah menjalin hubungan dengan mereka.
  16. Ketahui khalayak anda sebelum tutun ke gelanggang kerana ia dapat menyesuaikan anda dengan bahan ucapan, contoh humor dan sebagainya.
  17. Jangkakan soalan kerana anda akan bersiap sedia dengan jawapannya jika ia ditanya.
  18. Jangan beritahu khalayak mengenai ketakutan anda kerana mereka tidak akan tahu sekiranya anda tidak menunjukkan dengan perbuatan anda.
  19. Elakkan daripada menghafal seluruh isi kandungan dan ayat utama dalam teks ucapan anda kerana ia lebih memberi tekanan.
  20. Lakukan senaman kecil seperti menekan tapak tangan atau kaki kelantai tetapi jangan sampai ia kelihatan ketara di mata hadirin.
  21. Bunuh fikiran negatif dan jangan biarkan ia menguasai minda dan emosi anda. Fikir positif akan memberi keyakinan berbanding kegagalan.
  22. Fokus kepada ucapan dan elakkkan daripada melakukan atau memikirkan perkara lain seperti apa khalayak memikirkan mengenai anda.
  23. Awasi cara anda duduk kerana cara duduk juga membantu anda mengurangkan tekanan.
  24. Minum air kosong untuk membasahkan tekak.
  25. Bercakap dengan perlahan kerana jika anda berucap dengan pantas ia seolah-olah memperlihatkan anda ingin segera menghabiskan ucapan selain memburukkan keadaan.

(sumber : http://www.familiazam.com/membendung_rasa_takut.htm)

Thursday 22 February 2007

Novel: Cinta Sang Ratu


"Cinta Sang Ratu
laksana langit mencengkam purnama,
ibarat mutiara di lautan biru,
saujana mata memandang, seluas langit terbentang.

Tatkala cinta berbisik, suaranya memuji TUHAN,
apabila rindu terusik, rasulnya jadi pilihan

Sampai masanya cinta jadi taruhan,
Sang Ratu menjadi impian
."

kata-kata indah yang dipetik dari novel Ramlee Awang Murshid, novelis triller no 1 Malaysia.Cinta Sang Ratu adalah kesinambungan dari novel Bagaikan Puteri. Ceritera yang menjangkau akal logik namun ia tetap berasas. Terselit pelbagai pengisian pembangun jiwa. Mendekati Khalik yang Maha Mengetahui dan Mengkehendaki. Watak Saifudin, Laksamana Sunan yang cukup hikmah dalam menyebarkan dakwah dengan mencontohi akhlak Rasullullah dari kurun ke 15, cukup menjentik hati. Menundukan Sang Ratu yang kejam kepada Muslimah yang sejati bukan mudah. Kisah yang berselang seli dengan fenomena alam dibawah sedar, sihir,motivasi diri, usaha, iman dan tawakal. Situasi pertembungan dua zaman dalam alam bawah sedar antara kurun ke 15 dengan abad 21 yang turut mencambahkan emosi dan bibit kasih sayang sesama insan.

"Sebagai manusia, aku sayang padamu" ucapan Saifudin buat Ratu, "Sebagai Insan, aku sayang padamu" ucap Lelaki berduka dari tanah rencong buat Senggara, "Sebagai manusi kita tetap sayang pada bonda, walau sejahat manapun... bonda tetap bonda kita.." ucap Laksamana Sunan buat Maharani. Membaca novel ini bagai bersama sunan dan haryani menungkah cabaran kuasa Syaitan dari dua zaman yang berbeza..

Thursday 11 January 2007

10 laluan Syaitan


Assalammualaikum warah matullah wabarakatuh,Teman-teman seperjuangan,Renungilah pesanan seorang hamba soleh yang dipetik daripada buku "Apa ertinya saya menganut agama Islam "hasil tulisan Fathi Yakan, yang membicarakan tentang 10 pintu yang patut dijaga dari gangguan syaitan laknatullah:Beliau berkata: " kurenung dan kufikir, dari pintu manakah syaitan itu memasuki hati manusia, tiba-tiba kudapati syaitan memasukinya dari 10 pintu:

Pertama :TAMAK DAN BURUK SANGKA
lantas aku mengahadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan yang ada setelah berusaha dan berikhtiar.

Kedua :CINTAKAN HIDUP DAN PANJANG ANGAN-ANGAN
lantas aku menghadapinya dengan rasa takut terhadap kedatangan maut dengan tiba-tiba.

Ketiga :CINTAKAN NIKMAT
lantas aku menghadapinya dengan meyakini bahawa ikmat itu akan hilang dan meyakini balasan buruk.

Keempat :KAGUM DENGAN DIRI SENDIRI
lantas aku menghadapinya dengan mensyukuri nikmat pemberiaan Allah dan takut akan balasan seksa.

Kelima :MEMANDANG RENDAH PADA ORANG LAIN DAN TIDAK MENGHORMATI MEREKA
lantas aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak-hak dan kehormatan mereka.

Keenam :HASAD DENGKI
lantas aku menghadapinya dengan sifat qana'ah ( puas hati dengan apa yang ada setelah berusaha) dan redha dengan pemberian Allah.

Ketujuh :RIAK DAN SUKAKAN PUJIAN MANUSIA
lantas aku menghadapinya dengan sifat ikhlas.
Kelapan :BAKHIL
lantas aku menghadapinya dengan meyakini bahawa apa yang ada di tangan makhluk akan binasa sedangkan yang ada di sisi Allahlah yang kekal selamanya.

Kesembilan : TAKABBUR
lantas aku menghadapinya dengan sifat tawadhu'.

Kesepuluh : TAMAK
lantas aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkansesuatu yang ada pada manusia.